SEKATAN TERHADAP TOP GLOVE BOLEH DICEGAH, LEBIH BANYAK SEKATAN LAIN




Saya merujuk kepada laporan bahawa Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) telah mengarahkan pegawainya untuk merampas semua sarung tangan pakai buang yang dihasilkan oleh Top Glove Corporation Bhd. 

Ingin saya tekankan bahawa ianya tidak berlaku tanpa sebarang amaran terhadap syarikat yang diakui merupakan pengeluar sarung tangan terbesar di dunia itu. 

Selepas ini, kemungkinan lebih banyak negara turut mengenakan sekatan yang sama seperti yang telah diambil oleh CBP. 

Lebih parah, jika perkara ini tidak diselesaikan dengan baik, ia boleh berjangkit kepada syarikat-syarikat lain seterusnya indutri lain boleh terjejas sama. 

Dalam perkara ini, Kementerian Dalam Negeri sangat mengecewakan. 

Ketika berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia, saya memulakan jawatankuasa bebas khas berkenaan pengurusan pekerja asing yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamuddin Yunus. 

Jawatankuasa ini telah menghasilkan laporan yang mengandungi 40 cadangan yang kemudiannya saya bentang pada Kabinet untuk dibincangkan, yang kemudiannya akan diumumkan kepada khalayak umum. 

Selepas dibentangkan di Kabinet, sebuah jawatankuasa dibentuk dan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kerajaan untuk memberi panduan kepada kerajaan berkenaan pelaksanaan terhadap 40 cadangan tersebut. 

Salah satu yang paling penting juga adalah menghapuskan sistem pihak ketiga bagi membekalkan tenaga buruh asing ke negara ini. 

Malangnya, laporan tersebut tidak pernah dikemukakan terhadap umum malah, mana-mana daripada cadangan tersebut juga tidak pernah dilaksanakan.  

Sebagai Menteri tekita itu, saya mengadakan dua sesi pertemuan dengan pengeluar sarung tangan. Saya memberi amaran mengenai kemungkinan adanya sekatan dan mendesak mereka untuk mematuhi dengan membersihkan rantai bekalan mereka dan memastikan tidak ada unsur-unsur pemerasan terhadap pekerja. 

Saya memberitahu mereka bahawa kami akan bekerjasama dengan kedutaan AS dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS. 

Saya pergi ke AS dan bertemu dengan ketua CBP untuk memastikan bahawa kami bekerjasama dengan pihak mereka agar isu pemerasan pekerja diselesaikan. 

Hakikatnya, perkara inilah yang membuatkan saya lebih tegas untuk meminda undang-undang melibatkan pekerja di negara ini yang masih tempang dan ketinggalan zaman. 

Kementerian Dalam Negeri perlu membuat perubahan segera untuk membasmi Buruh Paksa. Perkara ini sangat penting kerana terdapat banyak syarikat di negara ini yang menggunakan tenaga buruh pada jumlah yang besar. 

Saya mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri segera menyerahkan pengurusan pekerja asing kepada kementerian sumber manusia, agar dapat diuruskan dengan lebih baik. 

Saya mencadangkan agar laporan jawatankuasa bebas dikaji semula dan cadangannya dilaksanakan dengan segera.



M. Kula Segaran

Member of Parliament for Ipoh Barat, Perak

National Vice-Chairman of the Democratic Action Party 

Former Human Resources Minister, Malaysia

1st April 2021

Comments