MP Kula 'lupakan' kereta, guna ETS ke Parlimen

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 14 Dis - Sejak Parlimen mula bersidang Oktober lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran melalui pengalaman baru - menggunakan Perkhidmatan Tren Elekterik (ETS) untuk berulang-alik antara Ipoh dan ibu negara.

"Secara kebetulan ETS mula operasi sejak Ogos lalu dan sidang Dewan Rakyat bermula Oktober, jadi saya memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan ETS untuk datang ke Kuala Lumpur dan menghadiri sidang Parlimen," kata Kulasegaran yang seolah-olah sudah melupakan keretanya untuk ibu negara sejak KTMB menyediakan perkhidmatan ETS.

"Sepatutnya ETS sudah mula beroperasi tahun 2003, tetapi ia tertangguh hampir tujuh tahun. Jika perkhidmatan ETS diadakan ketika itu, saya sudah pasti telah lama menggunakan ETS," kata wakil rakyat DAP ini.

Wakil rakyat ini berkongsi bahawa beliau sama sekali tidak kisah mengenai status selaku Ahli Parlimen atau merasakan status terjejas dengan menaiki kereta api untuk menghadiri sidang Parlimen.

"Tidak, tidak. Saya merasakan lebih selesa dan selamat... ini bukan soal status, tetapi saya dapat melakukan banyak kerja dalam dua setengah jam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur," kata Kulasegaran.

Kulasegaran lazimnya akan menaiki kereta api pada pukul 5.30 pagi setiap Isnin bagi membolehkannya berada di Parlimen menjelang pukul 10 pagi dan akan kembali ke Ipoh pada petang Khamis. Beliau akan kembali ke kawasannya jika ada urusan antara Isnin dan Khamis setiap minggu.

Kadangkala rakan sejawatannya dari Batu Gajah Fong Po Kuan juga menggunakan perkhidmatan ETS.

Di kalangan ahli-ahli Parlimen, Datuk Shahrir Samad juga pernah menggunakan kereta api ERL untuk pejabatnya di Putrajaya ketika menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dua tahun lalu.

Sudah pasti, satu kelebihan di pihak Kulasegaran ialah stesen kereta api Ipoh terletak di bahagian Parlimennya - Ipoh Barat.

"Semasa saya belajar di England, saya selalu menggunakan perkhidmatan kereta api... saya lihat ramai peguam, hakim dan ahli-ahli politik menggunakan perkhidmatan. Ia satu pemandangan biasa di Britain.

"Jadi, saya tidak rasa janggal atau pelik apabila menaiki kereta api selaku wakil rakyat sekarang, sepatutnya wakil rakyat menjadi teladan dalam hal-hal seperti ini," kata Kulasegaran yang Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, yang menjelaskan beliau boleh menyempurnakan banyak kerja sepanjang perjalanan.

"Kalau nak lelap sementara, boleh habis membaca majalah TIME misalnya, boleh buat 'kerja rumah' sebagai persiapan menghadapi sidang Parlimen... macam-maca lagi," kata beliau yang turut mengakui seringkali menerima notis saman kerana memandu laju.

"Keadaan (saman ekor), saya boleh elakkan, saya pernah terlibat dalam kemalangan di lebuh raya... saya rasa saya lebih tenang," katanya lagi.

"Malah, saya juga biasanya akan bertemu dengan pengundi-pengundi saya yang menggunakan ETS. Jadi, ini peluang bagi saya berbual dengan mereka, dalam memahami masalah mereka dan menjalin hubungan mesra antara pengundi dan wakil rakyat... ini semua satu peluang," kata beliau yang merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat sejak 2004. Beliau memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan pada 1997 dan tewas dalam saingan pilihan raya umum 1999.

Peguam ini menambah, beliau juga dapat menjimatkan kos perjalanan pada kadar yang cukup besar. "Kalau saya menggunakan kereta, saya akan menghabiskan sekitar RM200, setiap untuk perjalanan pergi balik. Jika menggunakan ETS sekarang, kos dalam lingkungan separuh sahaja," katanya yang menghinap di hotel berhampiran dengan KL Sentral.

Dari KL Sentral beliau akan menggunakan perkhidmatan awam teksi untuk ke bangunan Parlimen. "Akhirnya kita bebas daripada pelbagai masalah termasuk ruang tempat letak kereta dan sebagainya," katanya yang turut menambah bahawa sepatutnya perkhidmatan ETS di Malaysia seharusnya lebih canggih seiring dengan kemajuan teknologi.

"Kita seharusnya ada sistem ETS yang lebih ke hadapan, sistem yang ada sekarang ini ketinggalan dua tiga dekad, berbanding dengan apa yang ada di China," katanya.

Perjalanan pula biasanya memakan masa kira-kira dua setengah hingga tiga jam, dan mungkin lebih lama lagi jika pada musim cuti atau perayaan. Pengunjung ke Ipoh boleh menggunakan ETS yang dibangunkan dengan kos RM48 juta yang merupakan tren pertama yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan, kafeteria dan tandas.
ETS yang mula beroperasi sejak 12 Ogos lepas dilaporkan telah menarik purata antara 1,200 dan 1,400 penumpang setiap hari sepanjang dua bulan tersebut.

Waktu operasi dari Ipoh ke Kuala Lumpur bermula seawal pukul 4 pagi dan tamat 6.30 petang manakala tren dari Kuala Lumpur ke Ipoh pula bermula seawal pukul 6.20 pagi dan tamat pada 9 malam.

Comments