KENYATAAN MEDIA BERSAMA 34 AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG BERTARIKH 10 FEBRUARI 2021

Kerajaan perlu menarik balik perintah kuarantin 3 hari bagi Menteri Kabinet kerana tidak berasaskan faktor saintifik serta tidak adil untuk rakyat



1. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba telah berturut-turut mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan tentang perintah kuarantin bagi mereka yang pulang dari luar negara.



2. Pada 8 Februari 2021, beliau menyatakan Menteri yang pulang daripada lawatan rasmi luar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama 3 hari sedangkan tempoh kuarantin bagi rakyat biasa adalah 10 hari. Kenyataannya menimbulkan kritikan serius daripada pelbagai pihak termasuk pakar penyakit berjangkit seperti Profesor Dato Adeeba Kamarulzaman dan Academy of Medicine Malaysia, Dato Profesor Dr Rosmawati Mohamed yang turut mempertikaikan pengurangan tempoh kuarantin ini.



3. Pada 9 Februari 2021 pula, beliau mempertahankan keputusannya memberi dalih bahawa kuarantin 3 hari tersebut hanya diberikan kepada Menteri yang benar-benar mengikut "gelembung program perjalanan" (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi yang layak untuk kelonggaran kuarantin, seperti apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan rasminya di Indonesia baru-baru ini. Sedangkan, Menteri Luar Negara Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengadakan lawatan rasmi ke UAE pula peru menjalani kuarantin 10 hari kerana jadual lawatan rasminya dikatakan ketat.



4. Selepas teruk dikritik oleh orang ramai, beliau menambah lagi kepada kenyataannya yang mengelirukan itu dengan menyatakan bahawa kuarantin 3 hari itu mungkin dibuka kepada ahli perniagaan dan orang awam tidak lama lagi.




5. Kami menuntut Menteri Kesihatan menjelaskan apakah rasional dan kriteria sebenar untuk rakyat Malaysia, tidak kira sama ada Menteri atau rakyat biasa, yang pulang dari luar negara berhubung isu kuarantin dan kawalan Covid-19?




6. Dr Adham Baba tidak boleh mengeluarkan perintah yang memberi kelonggaran kepada Menteri Kabinet dalam Warta Persekutuan, kemudian sesuka hati berkata kelonggaran kuarantin 3 hari tersebut hanya diberi kepada Menteri yang benar-benar mengikut "gelembung program perjalanan" (itinerary bubble) tetapi bukan kepada Menteri yang lain. Ini bermaksud wujudnya kuarantin “dwi-standard” di kalangan Menteri yang membuat lawatan rasmi ke luar negara. Selepas itu, beliau berkata kuarantin 3 hari akan dibuka kepada orang ramai kerana Kerajaan ingin membuka ekonomi. Tidak ada ketekalan (consistency) dalam keputusan beliau, malah menimbulkan kekeliruan dalam negara.




7. Kami mahu Kerajaan melaksanakan perintah kuarantin yang adil dan sama bagi semua pihak kerana wabak virus Covid-19 tidak mengenali pangkat dan kedudukan, sama ada kepada Menteri atau pemandu Menteri. Keputusan Kerajaan terhadap isu yang amat penting seperti kuarantin ini perlu berdasarkan maklumat tepat berasaskan sains dan kawalan pandemik, dan bukan untuk memberi keselesaan kepada Menteri.




8. Sedangkan pada masa yang sama, Kerajaan telah dan sedang mengenakan tindakan keras, iaitu tangkapan dan denda yang berat, bagi mereka yang dituduh melanggar SOP di seluruh negara. Maka, Menteri sepatutnya menunjukkan teladan dengan mematuhi segala SOP kawalan jangkitan Covid-19, dan tidak menjadi punca kepada kluster baharu apabila berjumpa dengan rakyat tanpa mematuhi SOP.




9. Sehubungan itu, kami 34 Ahli Parlimen Pembangkang menyeru Dr Adham Baba dan Kabinet Perikatan Nasional menarik balik perintah kuarantin 3 hari bagi Menteri yang telah dimasukkan dalam warta Persekutuan.




10. Kami juga menyeru kabinet PN mengadakan perbincangan segera dengan teliti dan mendalam dalam isu kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, dan membuat keputusan yang adil dan sama-rata kepada semua pihak mengikut data saintifik, dan bukan untuk memudahkan gaya hidup Menteri. Wabak Covid-19 adalah soal hidup atau mati yang perlu ditangani dengan serius.




1. Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang)

2. Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)

3. Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar)

4. Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut)

5. Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri)

6. Baru Bian (Ahli Parlimen Selangau)

7. Datuk Rozman Isli (Ahli Parlimen Labuan)

8. Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai)

9. Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu)

10. Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)

11. Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud)

12. Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena)

13. Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

14. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Ahli Parlimen Raub)

15. Maria Chin Abdullah (Ahli Parlimen Petaling Jaya)

16. Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang)

17. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)

18. Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)

19. Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)

20. Kasthuriraani Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan)

21. P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu)

22. M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat)

23. Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin)

24. Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh)

25. Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu)

26. Steven Choong (Ahli Parlimen Tebrau)

27. Dr Maszlee Malik (Ahli Parlimen Simpang Renggam)

28. Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar)

29. Dr Azman Ismail (Ahli Parlimen Kuala Kedah)

30. Thomas Su (Ahli Parlimen Kampar)

31. Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang)

32. Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru)

33. Datuk Christina Liew (Ahli Parlimen Tawau)

34. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Ahli Parlimen Merbok)

Comments