Utusan - Menteri Sumber Manusia enggan ulas isu fasih berbahasa Mandarin



KUALA LUMPUR 23 Mei - Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dilihat menjauhkan diri daripada mengulas tentang isu syarat fasih berbahasa Mandarin dalam kalangan majikan yang dibangkitkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.


Meskipun perkara berkaitan majikan dikatakan berada di bawah tanggungjawab kementeriannya, Kula Segaran mahu isu mengenai kaitan kuota matrikulasi dengan syarat berbahasa Mandarin itu dijawab sendiri oleh Maszlee.






“Anda tanya Dr. Maszlee. Biar dia jawab,” kata Kula Segaran ketika ditanya pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Sumber Manusia dengan Dong Zong dekat sini hari ini.

Pada minggu lalu, Maszlee dilaporkan berkata bahawa isu kuota matrikulasi kepada bukan bumiputera dan syarat fasih berbahasa Mandarin ketika temuduga pekerjaan yang disyaratkan majikan tidak boleh dilihat secara terpisah.

Kenyataan itu mengundang reaksi marah pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin dan penyokong DAP serta MCA yang mahu Maszlee hanya menumpukan isu-isu Kementerian Pendidikan tanpa campur tangan dalam soal pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia.-UTUSAN ONLINE

Comments