Utusan - ILP dibuka selepas 5 petang, bantu golongan pekerja pelajari kemahiran baharu



KUALA LUMPUR 23 Mei - Golongan pekerja tempatan akan dibenarkan mengikuti latihan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) seluruh negara selepas pukul 5 petang, untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.


Langkah itu bakal diperkenalkan dalam masa terdekat yang boleh membantu golongan tersebut memiliki kemahiran baharu untuk menyertai pekerjaan bidang teknikal.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, rancangan itu penting bagi meningkatkan jumlah penglibatan pekerja di negara ini dalam bidang teknikal yang amat diperlukan industri.

Jelasnya mengikut rancangan, ILP akan dibuka dari pukul 5 petang sehingga 11 malam bagi memudahkan kebanyakan golongan pekerja mengikuti latihan yang ditawarkan.



Beliau malah berkata, mengikut rancangan sama, golongan 40 peratus berpendapatan terendah (B40) mungkin boleh mengikuti latihan secara percuma di ILP.

“Kerajaan juga merancangan ILP dibuka pada hari Sabtu dan Ahad bagi membolehkan lebih ramai dapat mengikuti latihan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kementerian Sumber Manusia dengan Dong Zong dekat sini hari ini.

Kata Kula Segaran, kelonggaran itu juga akan membantu meningkatkan peratusan golongan pekerja di Malaysia dalam bidang kemahiran teknikal yang kini berada pada paras 28 peratus kepada 50 peratus seperti negara-negara maju.


Beliau juga berkata, berdasarkan rekod kira-kira 94 peratus mereka yang melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan mendapat pekerjaan.-UTUSAN ONLINE

Comments