Berita Harian - ILP tawar latihan selepas waktu kerja - Kulasegaran

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bh.com.my




KAJANG: Institut Latihan Perindustrian (ILP) akan memperkenalkan latihan selepas waktu bekerja untuk meningkatkan kemahiran pekerja tempatan di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau berkata, latihan akan bermula jam 5.30 petang hingga jam 11 malam dan diperluaskan pada hujung minggu serta hari kelepasan am.

Katanya, latihan berkenaan terbuka kepada semua pekerja industri, manakala bagi kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) pula, kursus adalah percuma.

“Saya berharap majikan memberi kebenaran dan pelepasan kepada pekerja mereka mengikuti latihan industri berkenaan untuk meningkatkan kemahiran kerja.

“Bagaimanapun, bila tarikh latihan berkenaan dimulakan belum dimuktamadkan. Kita yakin latihan perindustrian ini mampu meningkatkan kemahiran pekerja kerana ketika ini hanya 28 peratus rakyat tergolong tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Kita bersungguh-sungguh meningkatkan peratusan berkenaan kepada 35 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMke-11),” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengelola-Pengelola Sekolah Cina (Dong Zong) dan Kementerian Sumber Manusia di Kolej Universiti New Era, di sini, hari ini.



ILP adalah institusi kemahiran di bawah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia yang menawarkan latihan kemahiran peringkat sijil, sijil lanjutan dan diploma.






Sebanyak 32 ILP beroperasi di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus seperti teknologi mekanik industri, teknologi pembuatan (perkakasan), teknologi kimpalan arka dan gas, dan teknologi fabrikasi logam.



Selain itu, teknologi pemasangan paip minyak dan gas, teknologi reka bentuk produk industri, teknologi automotif, teknologi kenderaan perdagangan berat dan teknologi jaminan kualiti.



Sementara itu, Kulasegaran berharap golongan muda memilih latihan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berpotensi diterima bekerja selepas tamat latihan.



“Kita mahu TVET di Malaysia dapat dikembangkan setaraf negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya.

Comments