Representasi Membantah - Cadangan SPR untuk membataskan (delimitation) sempadan-sempadan daerah mengundi.



Kepada:
Pengarah
Pejabat Pilihan Raya Perak
Blok A Tingkat 1, Bangunan Persekutuan 
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab
30000 Ipoh, PERAK                                                                          AMAT MUSTAHAK
3rd April , 2017
Tuan,
 Representasi Membantah dalam perkara “Notis Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu (Kecuali Negeri Selangor) Sebagaimana Yang Telah Dikaji Semula Oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Dalam Tahun 2017”, yang diwartakan di bawah Seksyen 7, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan Dan Dalam perkara “Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Bagi Negeri Perak Sebagaimana Yang Telah Dikaji Semula Oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Dalam Tahun 2017”
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Merujuk kepada perkara di atas, kami adalah sekumpulan pengundi lebih daripada 100 orang di Bahagian Pilihanraya P065 Ipoh Barat, N28 Bercham, N29 Kepayang, N30 Buntong, seperti mana kami dinyatakan dalam lampiran “A” senarai nama untuk representasi ini.
 Meujuk kepada perkara di atas saya, M. Kula Segaran, seorang pengundi berdaftar dan Ahli Parlimen P.065 Ipoh Barat berserta...... pengundi berdaftar yang lain dengan ini membantah terhadap Noties Kedua pihak Tuan bertarikh 08.03.2017. Saye telah memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamat Tinggi Ipoh pada 30.03.2017 untuk membantah terhadap Notis Kedua ini dan Siasatan Tempatan pihak Tuan pada 01.11.2016.
Saya tidak mengaku terhadap jurisdikasi dan kebetulan pengendalian siasatan ini. Selanjutnya saya tidak mengaku atau bersetuju dengan tindakan pihak tuan dengan memfailkan petisyen ini.
 ( do not admit to your jurisdiction or agree or consent with this inquiry in what so ever manner by filing. This representation is done under protest.)
Cadangan SPR untuk membataskan (delimitation) sempadan-sempadan daerah mengundi akan ada kesan terhadap ketenteraman dan kemakmuran negara kita, akibat daripada penyusunan semula kawasan Parlimen dan kawasan DUN untuk menyenangkan  Barisan Nasional memerintah negara kita dengan berkuasa. Pembahagian tidak sekata (Malapportionment) dan ‘Gerrymandering’ kawasan pilihanraya akan mengakibatkan ketidaktenteraman awam jika isu-isu pilihanraya berasaskan perkauman dan bukannya prinsip kewarganegaraan yang serupa.
Keutamaan yang diberikan untuk memperkasakan golongan warga luar bandar berdasarkan kaum akan secara terus menyebabkan golongan warga bandar terpinggir dengan ketidaksamaan perwakilan antara kedua-dua golongan tersebut. Di sini merupakan isu-isu substantif yang bukan hanya melanggar Perlembagaan Persekutuan kita, tetapi juga prinsip-prinsip demokrasi universal persekutuan dan kesaksamaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.
Pembahagian Tidak Sekata melibatkan penyempadanan yang merangkumi pengundi-pengundi yang tidak mempunyai hubungan tempatan dan ini tidak adil kepada masyarakat apabila mereka menghadapi sebarang masalah. Juga terdapat pendekatan kewajaran luar bandar yang memastikan kaum Melayu mendominasi sistem politik negara. Proses penyempadanan semula pada tahun 1994 mewujudkan kawasan luar bandar yang lebih kecil berbanding kawasan bandar. Sebagai contoh, kawasan Hulu Rajang yang merupakan satu kawasan luar bandar dengan populasi orang Melayu yang tinggi di Sarawak, mempunyai 16,085 bilangan pengundi manakala kawasan Ampang Jaya, sebuah kawasan bandar yang berada di Kuala Lumpur mempunyai 95,954 pengundi tetapi masing-masing menghantar satu wakil ke Dewan. Penyingkiran had 15% oleh Kerajaan Barisan Nasional membenarkan  percanggahan yang amat ketara.
‘Gerrymandering’ merupakan satu proses di mana penyempadanan kawasan dilakukan supaya satu parti mendapat kelebihan tanpa mengira saiz kawasan. Pertukaran yang sedikit pun di satu kawasan boleh menolong kawasan yang dimenangi dengan majority yang ‘marginal’. Pertukaran pengundi daripada Riffle Range kepada Pasir Pinji merupakan satu contoh di mana ia akan memberikan kelebihan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Prinsip satu orang, satu undi (‘one man, one vote’) perlu diberikan keutamaan. Ini untuk memastikan bahawa representasi yang sama diberikan kepada semua rakyat Malaysia.
Bantahan-bantahan ini difailkan tertakluk kepada dan tanpa menjejaskan hak kami untuk bergantung kepada isu-isu awal berikut yang hendaklah ditentukan dalam forum yang betul: -
1.       Bilangan pengundi purata di Perak merupakan 59 064 dan purata Negara merupakan 61,200. Oleh hal yang demikian, dengan cadangan untuk menambah bilangan pengundi kepada 82,041 merupakan 138.90% daripada purata di Perak.
2.       Semangat Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan dipinggirkan dalam percadangan penyempadanan semula ini.           
3.       Bahawa syor-syor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] bertarikh dan diterbitkan pada 15 September 2016 dan persempadanan semula tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan undang-undang.
4.       Bahawa notis bertarikh 15 September 2016 tidak menzahirkan kesan syor yang dicadangkan dan gagal untuk memberikan pendedahan penuh semua maklumat yang diperlukan bagi kami untuk membentangkan kes kami sepenuhnya dan secara berkesan.
5.       Bahawa terdapat masa yang tidak mencukupi bagi kami untuk menyediakan bantahan-bantahan kami kerana kekurangan maklumat dan kesukaran yang dihadapi untuk melayari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya.
6.       Bahawa terdapat kegagalan keadilan asasi.
7.       Mana-mana isu penting yang lain yang mungkin timbul sebelum, pada atau selepas siasatan tempatan tersebut.
1. Bantahan Atas Pembahagian Tidak Sekata (Malapportionment)
Berdasarkan prinsip yang dinyatakan dalam Sub-Seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan bahawa
“bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian kawasan pilihanraya”,
kami membantah pembahagian tidak sekata (Malapportionment) di kalangan
1.1        bahagian-bahagian pilihanraya persekutuan di Perak di mana
(a)    Bahagian pilihanraya persekutuan yang dicadangkan P065 Ipoh Barat mempunyai pengundi seramai 82,041, yang merupakan 1.40 daripada saiz purata di Perak. Sebagai perbandingan, bahagian pilihanraya persekutuan yang terkecil P061 Padang Rengas yang cuma mempunyai pengundi seramai 28,727. Dalam lain kata, bilangan pengundi P065 Ipoh Barat adalah 2.86 kali bilangan pengundi P061 Padang Rengas. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 2.86 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.
(b)    Malahan, bahagian pilihanraya persekutuan yang terbesar P063 Tambun mempunyai pengundi seramai 96,437 sedangkan bahagian pilihanraya persekutuan yang terkecil P061 Padang Rengas cuma mempunyai pengundi seramai 28,727. Dalam lain kata, bilangan pengundi P063 Tambun adalah 3.36 kali bilangan pengundi P061 Padang Rengas. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 3.36 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.
1.2        bahagian-bahagian pilihanraya negeri di Perak di mana
Kepayang
(a)    Bahagian pilihanraya negeri yang dicadangkan N29 Kepayang mempunyai pengundi seramai 21,458, yang merupakan 0.90% daripada saiz purata di Perak. Sebagai perbandingan, bahagian pilihanraya negeri yang terkecil N04 Kota Tampan yang cuma mempunyai pengundi seramai 11,990. Dalam lain kata, bilangan pengundi N29 Kepayang adalah 1.79 kali bilangan pengundi N04 Kota Tampan. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 1.79 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.
Buntong
(b)    Bahagian pilihanraya negeri yang dicadangkan N30 Buntong mempunyai pengundi seramai 26,675, yang merupakan 1.12% daripada saiz purata di Perak. Sebagai perbandingan, bahagian pilihanraya negeri yang terkecil N04 Kota Tampan yang cuma mempunyai pengundi seramai 11,990. Dalam lain kata, bilangan pengundi N30 Buntong adalah 2.22 kali bilangan pengundi N04 Kota Tampan. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 2.22 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.

Bercham
(c)     Bahagian pilihanraya negeri yang dicadangkan N28 Bercham mempunyai pengundi seramai 33,908, yang merupakan 1.42% daripada saiz purata di Perak. Sebagai perbandingan, bahagian pilihanraya negeri yang terkecil N04 Kota Tampan yang cuma mempunyai pengundi seramai 11,990. Dalam lain kata, bilangan pengundi N28 Bercham adalah 2.83 kali bilangan pengundi N04 Kota Tampan. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 2.83 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.
(d)    Malahan, bahagian pilihanraya negeri yang terbesar N23 Manjoi mempunyai pengundi seramai 50,812 sedangkan bahagian pilihanraya negeri yang terkecil N04 Kota Tampan cuma mempunyai pengundi seramai 11,990. Dalam lain kata, bilangan pengundi N23 Manjoi adalah 4.24 kali bilangan pengundi N04 Kota Tampan. Pembahagian ini melanggar Sub-seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan kerana 4.24 tidak boleh jadi “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dan harus diperbetulkan.
2.       Bantahan Atas Pengabaian Hubungan Tempatan Tanpa Mempertimbangkan Kepentingan Bersama
Berdasarkan prinsip yang dinyatakan dalam Sub-Seksyen 2(d) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Perseketuan bahawa
perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.”
kami membantah pengabaian hubungan tempatan di mana
bahagian pilihanraya persekutuan yang dicadangkan P065 Ipoh Barat menggabungkan komuniti-komuniti tempatan yang tidak mempunyai kepentingan bersama dan hubungan tempatan sungguhpun berada dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang sama, yakni
2.1   Penukaran daerah mengundi 0652910 Jalan Dato Maharaja Lela dan 0652911 Jalan Sultan Yusof yang merupakan teras Old Town Ipoh ke Ipoh Timur akan menjadikan kawasan itu bersifat perkauman bukan menggalakkan perpaduan kaum.
2.2   Penukaran daerah mengundi 0653008 Jalan Tun Perak ke Ipoh Timur akan memberi satu identiti yang tidak lansung mempunyai hubungan tempatan.
2.3   Kemasukkan daerah mengundi 0642607 Jalan C.M. Yusof ,0642608 Jalan Raja Ekram, 0653108 Falim dan 0663115 Desa Rishah ke Ipoh Barat juga tidak menyokong sebarang hubungan tempatan.
2.4   Penukaran pengundi dan pengundi pos dikeluarkan dari Jalan Dato Maharaja Lela untuk menjejaskan kestabilan di Tebing Tinggi. Ia akan menukarkan satu kawasan munasabah yang bercampur dari segi perkauman kepada satu kawasan dengan kadar percampuran kaum yang tinggi.
3.       Rayuan untuk menukar nama kawasan pilihan raya
3.1  Nama sesuatu kawasan pilihan raya harus menjadi salah satu di mana kebanyakan pemilih-pemilih di dalamnya boleh dikaitkan dengan, bukan satu yang kurang kaitan atau tiada kaitan dengan mereka.
3.2  Dengan prinsip ini, kita nak cadangkan nama untuk bahagian pilihanraya persekutuan ditukar dari P065 Ipoh Barat ke Ipoh. Ini kerana secara awal lagi, kawasan utama yang dibangunkan di bandar Ipoh, juga dikenali sebagai Old Town berada di bahagian Ipoh Barat. Oleh itu, memang wajar untuk P065 ditukar nama kepada Ipoh.
4.       Cadangan
4.1  Semasa penyempadanan kawasan mengundi, perhatian khas patut diberikan kepada pembolehubah geografi kawasan tersebut dan faktor-faktor demofrafik seperti kepadatan populasi dan ruang kawasan tersebut.
4.2  Baru-baru ini, Negara India menggunakan peta GIS (Geographic Information Systems) untuk mengatasi perwakilan yang tidak seimbang. Sebelum pembaharuan penyempadanan satu kawasan Parlimen merangkumi populasi sebanyak 350,000 manakala satu kawasan lagi merangkumi 3,400,000. Selepas penyempadanan sekarang, kesemua 7 kawasan di Delhi diubah semula dengan representasi yang sama rata dengan variasi hanya +/- 10 %.
4.3  Oleh hal yang demikian, dicadangkan agar 1 kerusi Parlimen atau lebih lagi ditambah untuk bahagian Ipoh Barat dan secara kolektif 2 kerusi Parlimen atau lebih untuk Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Tambun. Juga dicadangkan penambahan 4 kerusi DUN atau lebih untuk ketiga-tiga kerusi Parlimen di atas.
Kami di sini memohon untuk suatu pendengaran lisan untuk membolehkan saya menerangkan dan melanjutkan bantahan-bantahan saya di atas dan juga untuk memberi bukti bagi menyokong kepada yang sama dan untuk membuat mana-mana bantahan yang selanjutnya.
5. Mengecualikan negeri Selangor
Notis Pertama dikeluarkan untuk kesemua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, Notis kedua ini dikeluarkan dengan mengecualikan negeri Selangor. Pihak Tuan tidak mempunyai jurisdikasi untuk mengeluarkan notis menurut Seksyen 7, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan yang mengecualikan sebarang negeri daripada Semenanjung Malaysia;
Saya menyimpan hak-hak saya untuk membangkitkan isu- isu dan lain-lain selanjutnya pada siasatan tersebut jika diperlukan.
Sila akui penerimaan representasi membantah ini. Sekian, terima kasih.
Bagi pihak nama-nama dalam Lampiran “A” bersertakan tandatangan mereka dan telah bersetuju untuk membenarkan penama di bawah untuk mewakili mereka dalam menyampaikan representasi ini,
Yang benar,

Comments