Pembangkang sambut baik - Sinar Harian


GEORGETOWN - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengehadkan undi pos pada pilihan raya umum akan datang dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya ‘cakap tak serupa bikin’.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP mengalu-alukan langkah itu bagi memberi peluang kepada parti membuat semakan dan pemeriksaan supaya SPR menjadi sebuah badan yang bebas dan adil kepada semua pihak.

“Kalau SPR cakap nak lakukan, mesti lakukannya segera dan menyeluruh.

“Keputusan diambil SPR itu adalah langkah positif kerana sebelum ini, terlalu banyak penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dilakukan pihak tertentu,” katanya.

Sinar Harian semalam menyiarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyebut undi pos pada pilihan raya akan datang hanya akan digunakan untuk anggota keselamatan yang bertugas di luar negara dan perbatasan.

Bagi anggota keselamatan yang tidak terlibat, undi mereka adalah seperti undi awam, manakala penggunaan borang khas untuk undi pos tidak perlu digunakan lagi.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, isu penipuan terhadap undi pos mungkin tidak akan timbul setelah ia dihadkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan terdapat keperluan terhadap undi pos, namun ia bukan untuk memudah-kan individu yang tidak berkenaan daripada diberi ruang untuk mengambil kesempatan.

“Tidak wajar apabila pasangan anggota tentera dan polis turut diberi ruang untuk mengundi secara pos sedangkan mereka ini boleh mengundi seperti orang awam di tempat-tempat disediakan,” katanya.

Fuziah berpendapat, undi pos masih ‘berbahaya’ apabila pengundi didakwa diberi tekanan pegawai SPR ketika sedang menentukan calon yang ingin dipilih.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran ketika dihubungi berkata, kebanyakan pengundi yang mengundi melalui pos tidak dikenali.

Malah, proses penerangan berkenaan perjalanan dan tujuan sesebuah parti itu sendiri tidak dapat disampaikan kerana calon tidak dapat berjumpa sendiri dengan pengundi.

“Sudah tiba masa ia dimansuhkan, selain memansuhkan cara undian (tiada lagi borang dua) supaya hubungan rakyat dan pemimpin boleh diwujudkan.

“Wajar sekiranya mereka turut mengundi seperti orang awam supaya tiada lagi pengundi ‘hantu’ dan undi rosak,” katanya.

Comments