Masalah tidak pernah selesai


Sinar harian - 24/05/2011

IPOH – “Aduan sudah dibuat banyak kali, turun padang pun sudah puas dilakukan, tetapi masalah penduduk Taman Ipoh Grove tak pernah selesai,” kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran.

Masalah itu dialami penduduk Taman Ipoh Grove selama 15 tahun.

“Sejak awal lagi, punca sistem perparitan di kawasan perumahan yang dibina, tidak bersesuaian kerana paras longkang dan paras keluar air berada pada tahap yang sama,” katanya kepada Sinar Harian semasa melawat taman berkenaan, semalam.

Katanya, bulan Februari lalu aduan diajukan, beliau bersama Ahli Majlis MBI, Datuk Francis Lee Yew Hean telah melawat Taman Ipoh Grove bersama penduduk tempatan.

“Waktu itu, kami difahamkan selain masalah banjir, lampu jalan dan jalan juga dikatakan tidak dipedulikan dan tiada pemantauan.

“Sampai bila penduduk dapat menahan sabar? Pihak itu seolah-olah mahu mengambil tindakan tapi tidak selesaikan,” katanya.

Beliau berkata, tinjauan bersama penduduk serta kontraktor membuktikan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hanya menyelesaikan satu daripada pelbagai masalah di situ iaitu melebarkan serta membersihkan longkang kawasan itu.

“Tawaran kerja yang dilaksanakan MBI melalui kontraktor itu, menunjukkan tiada perbincangan awal diadakan antara MBI dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sebahagian kerja sahaja di kawasan MBI tetapi sebahagian pula harus mendapat kelulusan JPS

“Apa motif melebarkan serta mendalamkan longkang sedangkan ia tidak menyelesaikan masalah banjir,” katanya.

Kula Segaran turut, mempersoalkan adakah MBI mengadakan bancian terhadap kadar limpahan air ataupun kecerunan saluran air dari Taman Ipoh Grove ke luar tali air.

“Apa yang menyebabkan pihak MBI gagal melaksanakan sistem penyelenggaraan di kawasan sebegini

“Walhal punca banjir disebabkan ketiadaan sistem perparitan mencukupi yang menyebabkan air melimpah ke taman setiap kali hujan turun.

“Struktur longkang itu sememangnya berfungsi, tetapi tidak cukup dalam untuk menampung air hujan malah kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja naik taraf meninggalkan sisa tanah di sebelah longkang,” katanya.

Menurutnya, beliau kurang senang dengan pihak yang tidak peka dalam penyeliaan kawasan banjir.

“Apakah rancangan pelan Ipoh 2020 dapat menyelesaikan masalah penduduk di sini ataupun akan menjadi janji manis pada lakaran sehelai kertas?

“Saya minta MBI dan JPS cari jalan penyelesaian lebih proaktif demi menjaga kepentingan hak pembayar cukai,” katanya.

Comments