SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) belum boleh ketawa besar meskipun memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kelmarin dengan majoriti dua pertiga.
Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, kejayaan pembangkang menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan negeri itu kini bukan lagi ‘simpanan tetap’ BN.
“Perkembangan itu dapat dilihat melalui peratusan peningkatan undi terhadap Pakatan Rakyat (PR). PR telah berjaya mengekang BN di Sarawak sebagai simpanan tetap kerana rakyat di sana semakin terbuka menerima perubahan yang dibawa untuk masa depan negara.”
“Kita juga yakin mempunyai peluang cerah untuk memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum depan,” katanya.
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh pula berkata, BN menang dalam ketakutan kerana PR dilihat semakin berpengaruh di Sarawak.
“Ini kerana perjuangan politik baru yang dibawa oleh PR sudah mula diterima oleh rakyat Sarawak sekali gus menafikan apa yang BN anggap ‘akaun simpanan’ tetap mereka selama ini,” katanya.
“Kita telah menang undi popular sebanyak 44 peratus yang memberi petanda jelas PKR bukan lagi parti Semenanjung yang digelar BN,” katanya.
Fuziah berkata, petanda Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan berlaku dalam masa terdekat ekoran kekalahan majoriti undi Cina di Sarawak akan memberi kesan kepada negeri di Semenanjung.
Bagi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula, kekurangan maklumat melalui sebaran media dan Internet di kawasan pedalaman antara punca kekalahan PR.
“Selepas ini, PR akan lebih kerap ke Sarawak untuk mendekati masyarakat setempat terutama di kawasan pedalaman.
“Kita tidak kecewa mahupun putus asa kerana yang penting penerimaan masyarakat terhadap parti adalah lebih baik berbanding 2006 lalu,” katanya.
Pilihan Raya Negeri Sarawak kelmarin menyaksikan kemenangan BN mencatatkan majoriti dua pertiga setelah memenangi 55 daripada 71 kerusi.
Parti pembangkang berjaya memenangi 16 kerusi, 12 DAP, tiga PKR dan satu Bebas.
Comments
Post a Comment