Demonstrasi di PTD

SINAR HARIAN 25/08/2010

MEDAN ISTANA – Enggan mengeruhkan lagi keadaan, orang ramai yang sudah menerima surat agar menyertai demonstrasi di Pejabat Tanah dan Daerah Manjung PTD) hari ini, dinasihatkan supaya tidak datang ke lokasi berkenaan kerana isu itu sudah dianggap selesai.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran berkata, pada awalnya cadangan untuk mengadakan demonstrasi dibuat bagi membantah tindakan Kementerian Pelajaran yang mahu mengambil alih tanah warisan masyarakat India.

Bagaimanapun, hasrat itu dibatalkan selepas menerima surat pembatalan warta kerajaan yang disampaikan oleh PTD Manjung yang diserahkan kepada Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk S Veerasingam.

“Isu tanah warisan masyarakat India di Sitiawan itu menjadi berita besar sejak Kerajaan Persekutuan bercadang untuk mengambil alih hak milik tanah itu.

“Justeru, kita telah membawa perkara ini ke pihak berkaitan dan pendengaran kes pengambilalihan tanah itu dijadualkan berlangsung esok (Rabu),” katanya dalam satu sidang media di Wisma DAP di sini, semalam.

Menurutnya, demonstrasi itu diadakan bertujuan membantah pengambilalihan itu.

Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, meskipun demonstrasi itu tidak jadi, namun beliau akan tetap ke lokasi kira-kira jam 9 pagi bagi memaklumkan kepada orang ramai yang masih lagi belum mendapat makluman berhubung pembatalan itu.

“Saya dimaklumkan pasukan polis sudah pun ditempatkan di lokasi berkenaan bagi mengawal keadaan di sana.

“Jadi, lebih baik sekiranya saya juga ke sana untuk memberitahu mereka bahawa perhimpunan itu dibatalkan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry mengumumkan bahawa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersetuju proses pengambilan tanah Dinding Indian Association (DIA) tidak dilakukan kerana ia adalah tanah warisan yang menjadi simbol masyarakat India.

Dr Zambry berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira latar belakang tanah berkenaan yang dimiliki oleh masyarakat India sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Comments