Warga Tua menderita tiada rawatan susulan disebabkan oleh kelewatan JPN

Kelewatan Jabatan Pendaftaran Negara dalam pemprosesan kad pengenalan gantian mengakibatkan Pn. Muniamah (75) tidak mendapat rawatan susulan di Hospital serta tidak mendapat Wang Pencen.

Pn. S. Muniamah yang tinggal di Cheery Park, Ipoh adalah seorang warga tua yang juga seorang pesakit “Schizophrenia” yang memerlukan rawatan Prikiatri setiap bulan.

Beliau telah kehilangan kad pengenalan pada 8hb November 2009 semasa berada di Hospital Ipoh. Selepas kejadiannya, anak beliau Pn. D. Nagamah telah membawa beliau ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kehilangan.

Semasa berurus dengan JPN Perak mereka mengalami beberapa masalah untuk mendapatkan cabutan / carian butir-butir pengenalan sehinggakan kesnya dirujuk kepada JPN Putrajaya.

Pn. Nagamah pernah berurus dengan JPN Putrajaya bagi memproses kad pengenalan ibunya dengan segera. Tetapi beliau gagal mendapatkan sebarang jawapan.

Kemudian beliau merujuk kepada Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Barat untuk bantuan. Selepas kami menghantar surat pertanyaan mengenai kes ini, kami mendapat tahu bahawa cabutan/carian PN. Muniamah telah siap untuk dikutip.

Oleh kerana masa yang diambil oleh JPN adalah agak lama iaitu lebih daripada 6 bulan, Pn. Muniamah tidak dapat menerima rawatan susulan dan perubatan sehingga sekarang.

Beliau juga mengalami masalah dalam mendapatkan Wang Pencennya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia selepas kematian suaminya yang pernah bekerja di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong.

Pada hari ini kami diminta hadir di JPN Perak Bahagian Siasatan, selepas soal siasat, pegawai tersebut telah merujuk warga tua ini kepada bahagian kad pengenalan untuk pemprosesan dokumen pengenalan sementara yang sah laku sehingga 27/11/2010.

Persoalannya berapa lamakah Puan Muniamah ini harus menunggu untuk mendapatkan kad pengenalan gantian yang sah? Adakah pihak JPN akan bertanggungjawab ke atas kesihatan beliau kerana kelewatan pemprosesan kad pengenalan ini?


D. Tanabalan

Comments