Penduduk Persiaran Kuala Kangsar memohon bantuan MBI & Jabatan Kesihatan

Longkang-longkang di sepanjang Persiaran Kuala Kangsar tidak dibersihkan sejak kebelangkang ini. Ianya mengakibatkan longkang tersumbat dan pengaliran air terjejas.

Semasa saya membuat tinjauan bersama pengadu ke tempat tersebut, saya mendapat tahu bahawa Restoran Thai yang terletak dipesisiran Jalan Kuala Kangsar bersebelahan dengan Pejabat UMNO Bahagian Parlimen Tambun adalah punca utama menyebabkan longkang-longkang ini tersumbat.

Semasa kerajaan Pakatan Rakyat memerintah, mereka pernah meminta kesemua Pemilik dan pengendali restoran supaya memasang perangkap gris dan minyak (grease filter) bagi mengasingkan sisa makanan, minyak dan air untuk sama-sama menyumbang kepada pengurusan sisa buangan secara berkesan.

Kini dengan adanya kerajaan Barisan Nasional pembuangan minyak dan sisa makanan terus ke longkang telah berleluasa. Air yang bertakung di dalam longkang berhampiran dengan kawasan perumahan menyebabkan bau busuk.

Saya juga dapat melihat pembiakan nyamuk kerana takungan air yang berada sejak beberapa bulan. Penduduk Persiaran Kuala Kangsar memohon pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kesihatan supaya membuat pemantauan terhadap perkara ini dengan kadar segera.

Ini adalah kerana mereka amat risau penyakit Demam Denggi akan merebak dan akibatnya. Bolehkah MBI dapat bertindak sebelum masalah ini mengancam kesihatan masyarakat setempat.

Penduduk di sekitar juga mengalami beberapa masalah lain seperti semak-samun yang tidak dibersihkan, tiada penyelenggaran bagi longkang-longkang di hadapan dan di belakang rumah.

Kegagalan atau keengganan pemilik restoran yang tidak memasang perangkap gris dan minyak harus dikompaun sekurang-kurangnya RM1000 atau diarah tutup serta-merta.

Perangkap gris adalah peralatan besi tahan karat berbentuk empat segi yang dipasang di bahagian dapur iaitu di bahagian bawah sinki mencuci.

Fungsi utama perangkap gris dan minyak adalah untuk memerangkap lebihan atau sisa makanan yang bersaiz besar seperti sayuran, mi, tulang ayam atau ikan. Manakala fungsi kedua pula dipenuhi air bagi membenarkan lebihan minyak terapung di permukaan.

Seterusnya, lebihan air cucian, akan mengalir keluar terus ke longkang tanpa mengandungi sisa makanan mahupun lebihan minyak.

Berdasarkan Akta Parit, Jalan dan Bangunan133, kegagalan restoran dan gerai memasang perangkap gris boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun.

Manakala berpandukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Kerajaan Tempatan 171, premis yang terlibat dengan aktiviti mengeluarkan sisa-sisa cecair atau pepejal, yang boleh mencemarkan persekitaran, perlu membina atau memasang 'perangkap minyak' sebelum air dilepaskan ke dalam saluran paip pembetungan bawah tanah.

Oleh yang demikian, Datuk Bandar harus memberi arahan kepada kesemua Inspektor Kesihatan supaya memeriksa setiap premis restoran dan gerai dan menyiarkan statistiknya kepada masyarakat.


D. Tanabalan
Setiausaha Politik kepada YB. M. Kula Segaran
Ahli Parlimen Ipoh Barat
Pengerusi DAP Kepayang
AJK DAPSY Perak

Comments