Jalan Sg. Pari tidak mengikut spesifikasi jalan raya

Saya memohon pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kerja Raya memberi perhatian penuh terdapat jalan raya yang disiapkan oleh kontrakor.

Ini adalah kerana semasa saya membuat tinjauan di Jalan Sg. Pari, Buntong saya mendapat tahu bahawa penurapan tar yang dijalankan semasa membina jambatan baru di kawasan tersebut tidak mengikut spesifikasi jalan raya.

Saya hairan kenapa semakin banyak jalan di Buntong rosak, antaranya berlubang, berlopak dan bercompang-camping.

Punca utama ialah aktiviti korek dan timbus jalan yang berleluasa serta memburukkan keadaan ialah kerja-kerja penurapan semula secara tidak berkualiti oleh kontraktor menyebabkan jalan itu rosak.


Yang menyedihkan pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kerja Raya tidak membuat pemantauan kerja-kerja penurapan semula oleh para kontraktor.

Bayangkan bertapa banyak wang kerajaan dan pembayaran cukai dibazirkan disebabkan kerja penurapan yang tidak kemas dan sambil lewa.

Malah ada jalan yang tidak sampai dua bulan diturap keseluruhannya oleh kontraktor, akan rosak semula selepas kerja korek dan timbus oleh kontraktor bagi tujuan pemasangan kabel dan sebagainya.
Maka saya mencadangkan supaya mengadakan pasukan khas untuk menyelia semua kerja mengorek jalan dan memastikan kerja penurapan semula dilakukan dengan penuh berkualiti.

Kaji semula sistem pasang kabel pada permukaan jalan. Sepatutnya ia dibuat di bahu jalan seperti amalan sebahagian negara maju.

Mengambil tindakan ke atas kontraktor-kontraktor yang tidak bertanggungjawab dan mengenakan denda yang tinggi supaya dapat membayar pampasan kepada mangsa-mangsa kemalangan akibat daripada kecuaian mereka.

Datuk Bandar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri harus turun padang untuk mengenal pasti keadaan jika perlu bagi melihat kelemahan dan permasalahan sebenar.

Wajibkan kontraktor mengikut spesifikasi yang standard. Jangan ada kompromi kepada soal kualiti.
Apa guna menjadi negara maju dan menamakan Ipoh sebagai Banadaraya, kalau kita gagal mengurus dan menyelia dengan baik jalan raya kita.

Dimanakah pendirian MBI dan JKR terhadap konsep Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan?
Tanabalan Devarajoo
Setiausaha Politik kepada YB. M. Kula Segaran
(Ahli Parlimen Ipoh Barat)
Pengerusi DAP Kepayang, AJK DAPSY Perak.

Comments