Serah siasatan kepada Suruhanjaya Diraja

SHAH ALAM – Kerajaan digesa menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bernilai kira-kira RM100 juta.

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan kerana kehilangan enjin pesawat itu telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan rakyat terutama berkenaan tahap keselamatan negara.

“Kami menggesa supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi membolehkan kes ini disiasat dengan telus dan menyeluruh memandangkan kreadibiliti pihak polis masih dipertikaikan malah agensi keselamatan itu berada di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Laporan berhubung kes itu juga perlu diserahkan ke Parlimen bagi mengelakkan pihak atasan yang berkonspirasi dalam jenayah ini terlepas dan memastikan siasatan terperinci dilakukan,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini semalam.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Lee Boon Chye berkata, rakyat kini bimbang dengan tahap keselamatan negara di mana dikhuatiri terdapat benda lain termasuk maklumat keselamatan negara turut diseludup keluar.

“Bayangkan enjin pesawat yang bersaiz besar, malah dikawal rapi juga boleh hilang. Kami tidak menolak kemungkinan ada benda lain seperti senjata dan maklumat keselamatan negara turut dijual.

“Perkara ini adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan bukan sahaja membabitkan masalah kehilangan enjin sebaliknya pengurusan TUDM dalam menjamin keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Seng Giaw berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertahanan apabila jelas tragedi itu berlaku sewaktu beliau memegang jawatan itu.

“Kami menggesa Perdana Menteri menjelaskan perkara yang sebenar dalam hal ini, sama ada dua atau lebih enjin pesawat yang hilang kerana perkara ini ada kaitan soal keselamatan negara.

“Jika enjin pesawat itu boleh hilang, ini bermakna keselamatan kita tidak terjamin,” katanya.

Comments