Cadangan bina hotel bajet berhampiran sekolah dipersoal


SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
20 DISEMBER 2015

Sinar Harian



Rusnah (tengah) ketika melawat kawasan berkenaan, semalam.




SILIBIN - Tak kena tempat! Mungkin itu ungkapan sesuai bagi menggambarkan projek pembangunan melibatkan pembinaan bangunan komersial bersebelahan Sekolah St Philomena, di sini.

Bangunan komersial berkenaan difahamkan bakal menjadi tempat pusat perniagaan dan menempatkan beberapa lot rumah kedai selain hotel bajet.

Cadangan pembinaan berkenaan mendapat bantahan daripada warga sekolah bersebelahan kerana mereka telah pun mengemukakan permohonan lot tanah berkenaan untuk dijadikan padang permainan, khususnya untuk tujuan riadah serta pendidikan jasmani murid-murid sebelum ini.

Namun mereka dimaklumkan, permohonan itu ditolak dan dimaklumkan bahawa tanah berkenaan diserahkan kepada sebuah syarikat anak negeri bagi tujuan pembangunan komersial.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, R Jayaselan berkata, kewujudan bangunan komersial itu akan menjadikan kawasan tersebut lebih sesak berbanding sebelum ini.

Malah Jayaselan turut tidak menolak kemungkinan akan wujud pusat-pusat hiburan di kawasan sekitar.

“Saya berpendapat, kawasan ini tidak sesuai untuk dijadikan pusat komersial. Pertamanya, ia berdekatan dengan sekolah sudah tentu akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas di sini.

“Yang kedua, pihak sekolah telah membuat permohonan mewujudkan satu padang permainan untuk kegunaan murid-murid sekolah agar ia selaras dengan slogan dilaung-laungkan Kementerian Belia dan Sukan, 1Murid, 1Sukan.

“Bagaimanapun, permohonan kami ditolak dan kami dimaklumkan tanah ini akan digunakan untuk tujuan pembangunan bangunan komersial,” katanya.

Tambah Jayaselan, kewujudan pusat komersial itu yang bakal menempatkan hotel bajet juga akan memberi pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat kelak.
Katanya, kewujudan hotel bajet di kawasan berkenaan juga dibimbangi mengundang aktiviti tidak bermoral.

“Kita khuatir kewujudan hotel bajet ini mengundang banyak aktiviti maksiat dan sudah tentu ia (maksiat) dapat dilihat oleh murid-murid sekolah dan kita tidak mahu ia berlaku.
“Kita sangat berharap agar tindakan berhubung perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Guru besar bimbang keselamatan

Pendapat Jayaselan itu dipersetujui guru besar sekolah berkenaan, K Sanggari yang menyifatkan projek pembinaan itu juga dikhuatiri akan mewujudkan suasana tidak selamat.

Katanya, pembinaan itu akan memudahkan orang luar keluar masuk kawasan sekolah.

“Kita ada tiga guru serta 500 murid dan semuanya perempuan. Sudah tentu kita semua akan rasa tidak selesa dengan kerja-kerja pembinaan bangunan komersial ini.

“Kita bukanlah menentang pembangunan, tetapi ia perlulah seiring dengan keselesaan dan juga kerelaan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang sempat meluangkan masa untuk melihat sendiri kawasan di situ menyifatkan sekolah berkenaan perlukan satu pembangunan yang kondusif.

Tanah seluas dua hektar yang mahu dijadikan tapak pembinaan komersial situ sewajarnya dijadikan sebagai kawasan padang atau taman permainan agar murid-murid berpeluang untuk beriadah.

“Apa yang kita lihat, sekolah ini tidak ada kemudahan sukan dan mereka benar-benar mahu satu kawasan padang untuk aktiviti sukan.

“Setelah memohon sejak 2008, hanya pada tahun 2014 pihak sekolah dapat tahu permohonan itu ditolak dan kemudian kita diberitahu kawasan itu dah nak jadi kawasan komersial,” katanya.

Kulasegaran juga turut menggesa pihak berwajib segera menambah ciri-ciri keselamatan jalan raya di hadapan sekolah berkenaan.

Katanya, semua ciri berkenaan dilihat penting khususnya bagi menjaga keselamatan murid yang sentiasa melintas jalan ketika datang atau pulang dari sekolah.

“Sekarang kita dah ada bonggol dan sebelum itu kita juga ada garisan kuning untuk beritahu pemandu untuk perlahankan kenderaan.

"Tetapi, kita harap garisan kuning ini ditambah lagi selepas bonggol itu dan kalau boleh biarlah sampai melepasi kawasan sekolah,” katanya.

Kerajaan negeri beri perhatian serius

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengadakan perbincangan berhubung perkara berkenaan sebelum melaksanakan sebarang tindakan.

“Buat masa ni, kita akan berbincang untuk kenal pasti langkah terbaik. Kita tak boleh kata apa-apa lagi sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Bandar Raya Ipoh memaklumkan mereka menunggu laporan siasatan mengenai semua aduan berkenaan terutamanya kelulusan atau pembatalan permohonan pindaan tanah berkenaan.

Comments

  1. Expanding the school will be righteous choice than to commercialise. Better to invest in education than buildings. The children of philomena school require a field to enjoy growth through sports activities . Hope common sense prevails.


    With hopes,


    Narenthra Rao

    ReplyDelete

Post a Comment