Siasat isu biasiswa JPA

Sinar Harian, 23/05/2011

IPOH – DAP mendesak kerajaan supaya segera melakukan siasatan ke atas skandal biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran berkata, skandal bertambah buruk apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong mendedahkan terdapat pegawai kerajaan yang gagal melaksanakan arahan Kabinet merupakan faktor pelajar cemerlang tidak menerima biasiswa berkenaan.

“Mengapakah pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang tidak ditawarkan dengan biasiswa JPA berbanding dengan pelajar-pelajar yang hanya mendapat keputusan 4A atau 5A?

“Bukankah situasi ini memburukkan lagi sistem pelajaran di mana yang cemerlang diketepikan dan kurang cemerlang diberikan keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri disaran campurtangan dalam menguruskan aduan dengan menawarkan biasiswa kepada lebih ramai pemohon.

“Faktor utama yang menyebabkan aduan diterima adalah disebabkan oleh pelajar dengan kelulusan cemerlang tidak ditawarkan biasiswa luar negeri.

“Alasan tradisi yang seringkali diberikan oleh JPA adalah ada persaingan yang cukup hebat dan pihak JPA hanya pilih selepas menilai prestasi melalui temuramah yang tidak lagi dapat diterima oleh rakyat,” katanya.

Comments